Tuesday, November 17, 2009

Perolehan agensi Kerajaan

Setiausaha Penganjur Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Jeffrey Goh Sim Ik memberitahu bahawa walaupun bekas presiden MCA yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting pernah pada awal tahun 2008 mengumumkan panduan baru tentang perolehan dalam jabatan Kerajaan yang memberi peluang kepada peniaga bukan bumiputera untuk menyertai perolehan bagi jabatan kerajaan, malangnya panduan itu tidak dipatuhi oleh banyak jabatan kerajaan.

Selain itu, timbalan presiden Gabungan Persatuan Peniaga Buku dan Alat Tulis Malaysia, Zheng Tong Sing juga berkata, penyalahgunaan kuasa sesetengah pegawai kerajaan yang mengarahkan pihak sekolah untuk berurus niaga dengan pembekal bumiputera sahaja ketika melaksanakan perolehan buku dan alat tulis telah menyebabkan peniaga bukan bumiputera hilang 30% perniagaan.

Penyalahgunaan kuasa itu juga berlaku di sektor lain seperti bahan logam, percetakan dan lain.

Banyak dasar kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan atau pun patut dikaji balik sekiranya tidak lagi praktikal didapati dibiarkan begitu sahaja oleh kakitangan awam.

Fenomena ini sering berlaku dan dasar perolehan yang diubahsuai ini merupakan salah satu daripadanya.

Walaupun ia telah diumumkan oleh menteri berkenaan dan kakitangan kerajaan tidak melaksanakannya, tetapi rakyat tatap tahu apa sudah jadi pada dasar ini.

Janji kerajaan yang tidak ditunaikan memberi kerosakan kepada imej kerajaan.

Guru sekolah Cina

Jiao Zong mengkritik Kementerian Pelajaran menukarkan guru-guru pelatih unit bahasa Cina ke unit bukan bahasa Cina sebagai satu perbuatan yang tidak munasabah.

Ini kerana langkah itu menyebabkan guru pelatih tidak dapat berkhidmat di SJKC selepas tamat pelatihan mereka.

Masyarakat Cina bosan dengan liputan berita yang mana guru-guru terlatih yang berbahasa Cina tidak di hantar ke SJKC.

Tindakan pihak berkenaan dianggap sengaja mengabaikan hasrat masyarakat Cina untuk memperkukuhkan tenaga pengajar di sekolah-sekolah Cina.

Pihak berkenaan harus memberi alasan tentang keputusan ini dan meningkatkan usaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah Cina ini.

Sikap endah tak endah tentang isu yang berlarutan ini telah menjejas kredibiliti kerajaan BN.

Friday, November 6, 2009

Sekolah satu aliran II

Gabungan Persatuan Alumni Sekolah-sekolah Cina Malaysia membantah cadangan sekolah satu aliran kerana ia bercanggah dengan keadaan negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan pelbagai budaya.

Sekolah satu aliran dianggap satu pihak sebagai konsep yang tidak membawa manfaat dan menghalang kemajuan negara ini. Satu pihak lagi pula berpendapat sekolah pelbagai aliran merupakan satu keperluan semasa dan berkonsep global.

Reaksi hangat dan suara bantahan yang kuat daripada masyarakat bukan Melayu tentang cadangan sekolah satu aliran ini harus dianalisis dan pihak yang mencadangkan sistem ini juga perlu memberi sokongan dan bukti tentang bagaimana sekolah pelbagai aliran yang diamalkan sejak 50 tahun dahulu menjejaskan perpaduan negara.

Tanggapan dan tuduhan yang tidak berasas akan menimbulkan krisis perpaduan dan bukannya sistem pelajaran yang ada yang menyebabkan rakyat tidak bersatu padu. Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri yang memberi kepastian bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sekolah satu aliran sehingga rakyat menerimanya banyak membantu meredakan keadaan dan disambut baik golongan yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang menyatakan sekolah pelbagai aliran menjejas perpaduan nasional.

Sekolah satu aliran

Dong Jiao Zong mengkritik sesetengah ahli akademik dan ahli politik yang masih berfikiran sempit yang tidak bersabar dengan kewujudan dan perkembangan pendidikan bahasa ibunda pelbagai kaum di negara ini.

Mereka sekali lagi menuduh sistem sekolah pelbagai aliran sebagai penghalang kepada perpaduan nasional. Tindakan mereka itu amat tidak bertanggungjawab.

Pertubuhan ini menyatakan bahawa layanan yang tidak adil kepada semua kaum sebenarnya menjadi punca utama rakyat tidak bersatu padu.

Selain itu pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian berkata, mereka yang tidak menghormati akta pendidikan telah sekali lagi membangkitkan isu sekolah satu aliran untuk perpaduan rakyat.

Mereka itu harus dikutuk kerana akta pendidikan sekarang membenarkan sekolah pelbagai aliran di negara ini.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huan menegaskan semenjak kemerdekaan, keadaan negara ini aman damai, ekonomi berkembang dan negara terus membangun, semua ini adalah hasil usaha bersama rakyat daripada sekolah pelbagai aliran.

Pheng Yin Huan berkata, pertubuhan itu tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa sekolah satu aliran dapat menyatukan rakyat.

Reaksi hangat daripada masyarakat Cina dan pertubuhan-pertubuhan Cina jelas menunjukkan bahawa teori sekolah pelbagai aliran merupakan penghalang kepada perpaduan nasional perlu dikaji, diselidik dan kenyataan tentang peranan sekolah jenis kebangsaan harus dibuat secara bertanggungjawab dan disusuli dengan fakta serta sokongan yang konkrit.

Sekiranya tidak, semua kenyataan ini akan menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat sebelum wujudnya resolusi yang lebih baik.