Wednesday, April 21, 2010

Aktiviti Pakatan Rakyat

Adakah Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan rakyat? Lihat sahaja sambutan orang ramai ke atas aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, jawapannya jelas.
Kerajaan Pulau Pinang memberikan wang sagu hati kepada warga emas, ada pihak cuba menyifatkan langkah itu sebagai memberi rasuah.
Akan tetapi apabila kerajaan negeri menjalankan aktiviti membersihkan pantai, aktiviti itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan, yang kebanyakan adalah pemuda dan pemudi, apa pula komennya?
Penulis rencana China Press berkaitan isu ini berpendapat, tidak perlu bagi BN merasa cemburu, ia perlu ikut sahaja aktiviti yang dijalankan oleh PR untuk menawan sokongan rakyat.

Perancangan aktiviti atau program dengan teliti dan memenuhi cita rasa bagi penyertaan penduduk adalah penting buat kerajaan Pakatan Rakyat atau BN. Apa yang penting ialah aktiviti yang bermakna dan mendatangkan hasil serta mesra alam. Golongan muda kini lebih peka dengan isu alam sekitar dan kerja-kerja pemeliharaan alam ini seharusnya untuk kebaikan semua dan jangan bercampur aduk dengan motif politik.

Kewarganegaraan Malaysia

Mulai tahun ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memaklumkan kepada pemohon mengenai keputusan permohonan sijil kewarganegaraan mereka dalam masa dua tahun.

Dengan kata lain, dokumen permohonan lengkap yang dikemukakan oleh pemohon dalam tahun ini, selewat-lewatnya akan menerima jawapan daripada pihak berkenaan pada 2012.

Nanyang Siang Pau berharap Kementerian Dalam Negeri akan menyediakan mekanisme yang lebih sempurna untuk mengendalikan permohonan sijil kewarganegaraan secara sistematik.

Selagi pemohon memenuhi syarat, haruslah meluluskannya secara prinsip dan menguruskan temu duga secara fleksibel.

Ini kerana mereka itu lebih layak menjadi warga Malaysia daripada ramai lagi pendatang asing di Sabah.

Perkhidmatan kelulusan dan pengeluaran sijil kewarganegaraan banyak mempengaruhi prestasi KDN. Masa yang lama dan pengurusan yang tidak cekap dalam hal ini akan menjelas imej kementerian dalam kalangan penduduk atau pemohon. Banyak urusan kerajaan sebenarnya boleh dipercepatkan tetapi telah mengalami masalah kelewatan kerana sistem penyampaian yang lemah.