Friday, October 29, 2010

Pendidikan Cina Bukan Penghalang Perpaduan

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata negara ini telah wujud pelbagai aliran pendidikan sebelum merdeka lagi dan kemajuan negara ini adalah hasil perpaduan semua rakyat.

Oleh itu, ia telah membuktikan bahawa pendidikan Cina bukanlah penghalang kepada perpaduan rakyat bagi negara ini. Kata beliau, pelajar masih berpeluang bergaul dan berinteraksi semasa di sekolah menengah.

Tambah beliau, inti pati dan dasar pelajaran selepas merdeka amat mengutamakan unsur perpaduan rakyat.

Kata Ketua Pengarah Pelajaran semasa ditemu ramah oleh Sin Chew Daily yang disiarkan di muka depan akhbar itu hari ini dengan tajuk "Alimuddin: Wujud sebelum merdeka, pendidikan Cina bukan penghalang perpaduan"

Rakyat akan bosan dan rasa terhina dengan tuduhan yang mengatakan sekolah jenis kebangsaan menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat negara ini sekiranya tiada bukti dan kajian yang menyeluruh untuk menyokong tuduhan ini.

Kementerian Pelajaran harus menonjol dan memberikan publisiti tentang usaha-usaha yang telah dan sedang diambil bagi meningkatkan perpaduan pelajar melalui pelbagai sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi menyedarkan semua pihak supaya kementerian ini tidak dituduh kononnya mengabaikan tanggungjawab membentuk minda semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.