Friday, April 1, 2011

Pengurusan Dana Awam

Berita berkenaan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pulau Pinang membelanjakan RM4.3 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan 201 lampu isyarat digital telah mencetuskan persoalan apakah keistimewaan lampu isyarat tersebut?

Mengapa memerlukan begitu besar jumlah wang untuk menyelenggarakan lampu-lampu isyarat tersebut? Sememangnya MPSP perlu memberikan penjelasan yang munasabah.

Sekiranya berlaku penyelewengan, tindakan segara harus diambil terhadap mereka yang terlibat.

Wang yang dibelanjakan merupakan hasil titik peluh rakyat. Dengan itu, Kerajaan negeri dan tempatan harus berhati-hati dalam menentukan kualiti lampu isyarat atau lain-lain peralatan yang akan diperoleh/dibeli.

Isu perbelanjaan dana awam secara sesuka hati dan membeli barangan dengan harga yang terlalui tinggi sehingga kadang-kadang dianggap tidak logik langsung merupakan perkara yang mudah menaikkan kemarahan pengundi terhadap kerajaan, tidak kira Kerajaan yang dikuasai BN atau Pembangkang.

Pengundi, khususnya pengundi Cina, amat sensitif dengan kos dan penyalahgunaan dana awam kerana mereka merupakan penyumbang cukai utama negara.


Thursday, March 24, 2011

Sistem dua parti

Politik Malaysia kini semakin hilang arah tuju, tidak kira yang berkuasa atau yang tidak berkuasa.

Ahli-ahli politik semacam telah lupa peranan dan sering melakukan perkara-perkara yang menyebabkan rakyat rasa kecewa dan rakyat telah mula beranggapan semua ini adalah permainan politik kelas tiga.

Terdapat orang politik yang bersikap bongkak dan tidak pandai memimpin tetapi tidak hendak mengaku dan tidak hendak belajar secara bersungguh-sungguh tentang cara-cara memimpin dan cuma tahu memarahi orang lain, mentang-mentang ada kuasa.

Kerajaan yang memerintah harus melaksanakan tanggungjawab termasuk memantau prestasi kakitangan awam.

Kerajaan yang dilantik rakyat harus memastikan semua agensi kerajaan berfungsi dengan sempurna kerana prestasi agensi awam mencerminkan keberkesanan kerajaan.

Kerajaan tempatan harus di pantau secara dekat tentang prestasinya kerana fungsi-fungsi kerajaan tempatanlah yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat, termasuk kutipan sampah, pembersihan longkang, lesen perniagaan, lampu jalan dan sebagainya.

Pengundi Cina dilihat amat terkedepan dalam pembuat keputusan semasa mengundi berbanding pengundi Melayu dan India atau kaum-kaum lain. Mereka telah melihat kemungkinan terlaksananya sistem dua parti di negara ini. Mereka mengharapkan check n balance yang berkesan, ini termasuk melaksanakan tanggungjawab dengan mendahulukan rakyat atau rakyat sentiasa diutamakan.

Kakitangan awam khususnya mereka yang berjawatan tinggi seharusnya lebih profesional dari segi menjaga kepentingan awam dan bukanya berlagak atau berkelakuan orang politik.

Tuesday, November 23, 2010

Penggunaan Bahasa Malaysia

Baru-baru ini isu rakyat khususnya bukan Melayu di Malaysia kurang fasih atau tidak tahu berbahasa Malaysia menjadi isu hangat dan menjadi satu trend serta usaha pelbagai pihak mengadakan kempen untuk menghapuskan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular kononnya sekolah ini penghalang perpaduan nasional dan fenomena ini tidak patut berpanjangan bagi sebuah negara yang merdeka melebihi 50 tahun.

Saya seorang Buddist yang bersekolah di SJKC yang ditubuhkan golongan Kristian dan bersekolah menengah di SMJK dan ke sekolah menengah persendirian Cina, pernah kerja di ladang besar yang majoriti India dan ke universiti awam tempatan dan kini berkhidmat di sektor awam bingung dengan dakwaan ini.

Sepanjang waktu persekolahan saya, tidak ada pembelajaran yang boleh menyebabkan pelajar bertindak anti kaum lain atau disuruh menjauhi kaum lain dalam negara ini.

Di samping itu, mempelajari budaya, nilai-nilai murni dan bahasa ibunda bukan secara automatik telah bermusuhan dengan bangsa lain.

Mempelajari Bahasa Malaysia, sama juga dengan belajar B. Inggeris, B. Cina dan sebagainya, ada pihak yang boleh menguasai dengan baik dan ada pihak yang lemah dalam sesuatu bahasa. Saya ingin ajak pihak tertentu berkongsi ilmu berkenaan:

1. Kajian mana yang mengatakan sekolah vernakular ini penghalang perpaduan dan bagaimana ia bertindak untuk menghalang perpaduan kaum dalam negara ini?

2. Bagaimana mereka yang kurang fasih berbahasa Malaysia boleh menjejas perpaduan kaum di negara ini ataupun cuma mereka akan terjejas dari segi komunikasi ? Ada pelajar yang kurang fasih berbahasa Malaysia atau Inggeris tetapi menjadi kawan baik, sering bermain bola dan komputer games bersama dan banyak berkomunikasi dengan body language dengan penggunaan B. Malaysia atau campuran BI dan BM yang minima, apa komen anda?

Ahli Bersekutu BN

PM: Parti Komponen enggan letak calon, ahli bersekutu akan bertanding

Perdana Menteri merangkap Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli bersekutu BN mungkin bertanding dengan syarat parti komponen enggan meletakkan calon di sesuatu kawasan dan ia perlu diperakui oleh majlis tertinggi BN. PM berkata, amalan BN ialah mengutamakan semangat perundingan di kalangan parti komponen BN dan tidak akan merampas mana-mana kerusi untuk dipertandingkan oleh ahli bersekutu BN.

Perkembangan baru BN menarik perhatian orang ramai yang mengambil berat tentang politik negara. Ahli bersekutu BN mungkin mendapat sambutan individu tetapi ahli bergabung BN yang ingin mendapatkan penyertaan NGO mingkin sukar kerana pertubuhan perlu mendapatkan kelulusan ahli dan biasanya pertubuhan adalah bersifat neutral atau statusnya atas dari politik.

Friday, October 29, 2010

Pendidikan Cina Bukan Penghalang Perpaduan

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata negara ini telah wujud pelbagai aliran pendidikan sebelum merdeka lagi dan kemajuan negara ini adalah hasil perpaduan semua rakyat.

Oleh itu, ia telah membuktikan bahawa pendidikan Cina bukanlah penghalang kepada perpaduan rakyat bagi negara ini. Kata beliau, pelajar masih berpeluang bergaul dan berinteraksi semasa di sekolah menengah.

Tambah beliau, inti pati dan dasar pelajaran selepas merdeka amat mengutamakan unsur perpaduan rakyat.

Kata Ketua Pengarah Pelajaran semasa ditemu ramah oleh Sin Chew Daily yang disiarkan di muka depan akhbar itu hari ini dengan tajuk "Alimuddin: Wujud sebelum merdeka, pendidikan Cina bukan penghalang perpaduan"

Rakyat akan bosan dan rasa terhina dengan tuduhan yang mengatakan sekolah jenis kebangsaan menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat negara ini sekiranya tiada bukti dan kajian yang menyeluruh untuk menyokong tuduhan ini.

Kementerian Pelajaran harus menonjol dan memberikan publisiti tentang usaha-usaha yang telah dan sedang diambil bagi meningkatkan perpaduan pelajar melalui pelbagai sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi menyedarkan semua pihak supaya kementerian ini tidak dituduh kononnya mengabaikan tanggungjawab membentuk minda semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.