Friday, January 29, 2010

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 28 Januari 2010 dan bertekad untuk terus melakukan perubahan selaras dengan hasrat dan harapan rakyat.

Kata beliau, kesemua program transformasi ini telah terlebih dahulu mengambil kira pandangan rakyat dan dirangka oleh kakitangan awam yang terlibat dengan lab bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mana mereka telah memberikan komitmen dan bersemangat tinggi untuk menentukan hala tuju GTP ini.

Kata PM, Kerajaan akan merealisasikan NKRA ini untuk mencapai transformasi yang berterusan sehingga rakyat dapat merasai, melihat dan menyentuhnya.

Kerajaan juga tidak akan menyembunyikan apa-apa semasa melaksanakan program ini dan bersedia untuk dinilai dan akan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat terhadap Kerajaan.

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) merupakan hasil daripada penggunaan sumber tenaga, wang dan masa yang begitu banyak dan ia juga menunjukkan komitmen Kerajaan.

Apa yang penting ialah pelaksanaan dan kelihatan hasil yang nyata oleh rakyat. Agensi pelaksanaan memainkan peranan paling penting dan GTP ini seharusnya tidak ada pilihan melainkan berjaya dan rakyat benar-benar merasainya. Masa depan Kerajaan BN banyak bergantung pada hasil GTP ini.

Thursday, January 28, 2010

Inovasi sektor awam

Perdana Menteri Dato Sri Najib mencadangkan semua kementerian kerajaan dan agensi menubuhkan unit inovasi bagi meningkatkan prestasi sektor awam melalui idea yang berinovatif dan kreatif.

Selain itu, Hari Kualiti (Hari Q) juga dicadangkan menukar kepada Hari Inovasi. Kata PM, kadar pembangunan ekonomi negara banyak bergantung pada penggunaan daya kreatif dan inovasi.

Katanya, negara ini yang sedang menuju ke arah modul ekonomi baru amat memerlukan kreatif dan inovasi.

Daya persaingan negara banyak bergantung pada kreatif dan inovasi serta perubahan yang selaras dengan kehendak semasa, oleh itu, penumpuan kepada inovasi dan kreatif amat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua agensi awam.

Pekerja asing

Timbalan Presiden MCA Dato’ Sri Dr Chua Soi Lek berkata beliau akan mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia supaya menangguhkan operasi menahan pekerja asing haram yang akan bermula pada 15 Februari depan. Katanya operasi dijangka bermula pada hari kedua Tahun Baru Cina itu adalah kurang sesuai kerana hari ini merupakan hari yang paling sibuk bagi peniaga semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata tarikh yang sesuai untuk operasi ini ialah selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Tambah beliau, banyak pihak mencadangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing harus dipanjangkan dari lima tahun kepada lapan tahun kerana terdapat kerja-kerja yang sukar mendapat pekerja disebabkan orang tempatan kurang berminat.

Isu pekerja asing perlu diselesaikan dengan meneliti punca masalahnya. Bidang-bidang pekerjaan yang perlu dan boleh diisi oleh pekerja tempatan seharusnya tidak dimonopoli oleh pekerja asing dan kerajaan harus tingkatkan dialog dan mencapai persefahaman antara industri dan Kementerian yang berkuasa agar isu pekerja asing dapat diselesaikan dengan baik.

Pekerja tempatan harus juga diberi peluang melalui kawalan dan penguatkuasaan supaya majikan tidak mengambil kesempatan dengan mengaji pekerja yang lebih murah tetapi peluang orang tempatan diabaikan.

Golongan muda harus diberi peluang latihan dan berkhidmat di bidang-bidang barisan hadapan agar mereka terlatih untuk menyesuaikan diri dengan budaya perniagaan khususnya lepasan sekolah menengah, kolej dan universiti.

Tuesday, January 26, 2010

Daging babi

Hua Zhong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu agensi perunding bebas bagi mengkaji satu mekanisme penentuan harga daging babi agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

Agensi perunding ini harus meliputi pihak penternak, pengedar, penjual dan agensi yang terlibat.

Dengan menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina, bahan makanan ini telah menjadi satu isu dari segi pembekalan dan harga. Kementerian berkenaan telah mengumumkan kawalan harga dan kebenaran import bahan ini.

Usaha Kerajaan dan pihak yang terlibat untuk menyelesaikan harga daging babi yang melambung tinggi mendapat sokongan di kalangan pengguna tetapi satu mekanisme yang boleh diterima semua pihak perlu diadakan bagi menentukan harga dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul agar semua pihak dilayan secara adil.

Usaha Hua Zhong harus dipuji dan Kementerian berkenaan harus bekerjasama dengan pertubuhan ini bagi membantu menyelesaikan kemelut yang menjejas masyarakat Cina.

Kalimah Allah 2

Dalam satu wawancara khas dengan pemberita China Press, ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Khalid Samad berkata, umat Islam yang ingin memanipulasi kalimah Allah, bukan saja akan mencetuskan perselisihan faham bagi bukan Islam terhadap agama Islam, malah juga menyebabkan mereka menjauhi agama Islam.

Khalid berkata, mengikut ajaran Islam, pencipta dunia adalah 'Allah', yang tidak mengambil kira umat Islam ataupun tidak.

Hanya terdapat satu pencipta, iaitu 'Allah'.

Oleh itu, Allah adalah milik semua insan, tiada orang boleh menghalang bukan Islam menggunakannya.

Menurut beliau, tindakan pertubuhan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah adalah salah satu strategi bagi menumpaskan Pakatan Rakyat (China Press 25.1.10)

Kontroversi haram atau tidak penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam telah berlarutan dan masih tidak ada kata sepakat daripada semua pihak.

Proses mahkamah biasanya akan menghasilkan satu pihak yang tidak berpuas hati dan masyarakat terus tidak bertenang.

Alternatif yang terbaik ialah melalui proses perundingan dan penyelesaian di luar mahkamah dengan adanya pihak tertentu yang mengkoordinasi atau mengadakan dialog berkaitan perkara ini agar satu jalan penyelesaian jangka panjang dihasilkan.