Pemilihan Hua Zong ( Federation of Chinese Associations Malaysia ) sudah berakhir dan Tan Sri Pheng Yin Huah berjaya mengalahkan lawannya, Tan Yew Sing untuk muncul sebagai Presiden baru pertubuhan itu.
Kemenangan besar beliau itu di luar jangkaan. Kemungkinan besar semangat dan ketegasan beliau untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina adalah kunci utama bagi pencapaian cemerlang itu.
Kita berharap pucuk pimpinan baru Hua Zong akan memandang serius kesemua 23 usul yang dikemukakan pada Mesyuarat Agung Hua Zong kerana usul itu merangkumi pelbagai sektor.
Sama ada usul tersebut dapat menjadikan kenyataan adalah satu ujian terbaik bagi Hua Zong. Tidak semestinya Hua Zong perlu menyelesaikan semua masalah yang terkandung dalam usul tersebut, tetapi sekurang-kurangnya Pheng dan pasukannya harus bersikap serius untuk mengendalikannya.
Hua Zong merupakan pertubuhan Cina yang mana statusnya dianggap tertinggi di antara pertubuhan-pertubuhan Cina di Malaysia. Oleh itu, pemilihan pucuk pimpinannya sama penting dan diberi perhatian sepenuhnya sama seperti parti-parti politik dalam negara ini oleh masyarakat Cina.
Pertubuhan ini sering berinteraksi dengan pihak pemerintah sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan dan berkecuali dari segi fahaman politik. Isu-isu yang sering diberi perhatian termasuklah ekonomi, politik, pelajaran, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya.
Oleh itu, Hua Zong merupakan satu saluran yang penting yang harus diambil berat oleh kerajaan untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang berkait rapat dengan masyarakat Cina.
Usul yang dibangkitkan Hua Zong biasanya direstui oleh masyarakat Cina dan dianggap boleh mewakili suara majoriti.
(Sumber: Lidah Pengarang Nanyang Siang Pau, 1.10.09)
Friday, October 2, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)