Tuesday, November 23, 2010

Penggunaan Bahasa Malaysia

Baru-baru ini isu rakyat khususnya bukan Melayu di Malaysia kurang fasih atau tidak tahu berbahasa Malaysia menjadi isu hangat dan menjadi satu trend serta usaha pelbagai pihak mengadakan kempen untuk menghapuskan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular kononnya sekolah ini penghalang perpaduan nasional dan fenomena ini tidak patut berpanjangan bagi sebuah negara yang merdeka melebihi 50 tahun.

Saya seorang Buddist yang bersekolah di SJKC yang ditubuhkan golongan Kristian dan bersekolah menengah di SMJK dan ke sekolah menengah persendirian Cina, pernah kerja di ladang besar yang majoriti India dan ke universiti awam tempatan dan kini berkhidmat di sektor awam bingung dengan dakwaan ini.

Sepanjang waktu persekolahan saya, tidak ada pembelajaran yang boleh menyebabkan pelajar bertindak anti kaum lain atau disuruh menjauhi kaum lain dalam negara ini.

Di samping itu, mempelajari budaya, nilai-nilai murni dan bahasa ibunda bukan secara automatik telah bermusuhan dengan bangsa lain.

Mempelajari Bahasa Malaysia, sama juga dengan belajar B. Inggeris, B. Cina dan sebagainya, ada pihak yang boleh menguasai dengan baik dan ada pihak yang lemah dalam sesuatu bahasa. Saya ingin ajak pihak tertentu berkongsi ilmu berkenaan:

1. Kajian mana yang mengatakan sekolah vernakular ini penghalang perpaduan dan bagaimana ia bertindak untuk menghalang perpaduan kaum dalam negara ini?

2. Bagaimana mereka yang kurang fasih berbahasa Malaysia boleh menjejas perpaduan kaum di negara ini ataupun cuma mereka akan terjejas dari segi komunikasi ? Ada pelajar yang kurang fasih berbahasa Malaysia atau Inggeris tetapi menjadi kawan baik, sering bermain bola dan komputer games bersama dan banyak berkomunikasi dengan body language dengan penggunaan B. Malaysia atau campuran BI dan BM yang minima, apa komen anda?

Ahli Bersekutu BN

PM: Parti Komponen enggan letak calon, ahli bersekutu akan bertanding

Perdana Menteri merangkap Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli bersekutu BN mungkin bertanding dengan syarat parti komponen enggan meletakkan calon di sesuatu kawasan dan ia perlu diperakui oleh majlis tertinggi BN. PM berkata, amalan BN ialah mengutamakan semangat perundingan di kalangan parti komponen BN dan tidak akan merampas mana-mana kerusi untuk dipertandingkan oleh ahli bersekutu BN.

Perkembangan baru BN menarik perhatian orang ramai yang mengambil berat tentang politik negara. Ahli bersekutu BN mungkin mendapat sambutan individu tetapi ahli bergabung BN yang ingin mendapatkan penyertaan NGO mingkin sukar kerana pertubuhan perlu mendapatkan kelulusan ahli dan biasanya pertubuhan adalah bersifat neutral atau statusnya atas dari politik.

Friday, October 29, 2010

Pendidikan Cina Bukan Penghalang Perpaduan

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata negara ini telah wujud pelbagai aliran pendidikan sebelum merdeka lagi dan kemajuan negara ini adalah hasil perpaduan semua rakyat.

Oleh itu, ia telah membuktikan bahawa pendidikan Cina bukanlah penghalang kepada perpaduan rakyat bagi negara ini. Kata beliau, pelajar masih berpeluang bergaul dan berinteraksi semasa di sekolah menengah.

Tambah beliau, inti pati dan dasar pelajaran selepas merdeka amat mengutamakan unsur perpaduan rakyat.

Kata Ketua Pengarah Pelajaran semasa ditemu ramah oleh Sin Chew Daily yang disiarkan di muka depan akhbar itu hari ini dengan tajuk "Alimuddin: Wujud sebelum merdeka, pendidikan Cina bukan penghalang perpaduan"

Rakyat akan bosan dan rasa terhina dengan tuduhan yang mengatakan sekolah jenis kebangsaan menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat negara ini sekiranya tiada bukti dan kajian yang menyeluruh untuk menyokong tuduhan ini.

Kementerian Pelajaran harus menonjol dan memberikan publisiti tentang usaha-usaha yang telah dan sedang diambil bagi meningkatkan perpaduan pelajar melalui pelbagai sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi menyedarkan semua pihak supaya kementerian ini tidak dituduh kononnya mengabaikan tanggungjawab membentuk minda semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Tuesday, August 24, 2010

Ice Kacang Puppy Love

Filem Cina tempatan ‘Ice Kacang Puppy Love’ keluaran Ah Niu telah mendapat sambutan yang baik dan mencatat pendapatan RM4 juta daripada jualan tiket.

Manakala Ah Niu mendedahkan filemnya dianggap filem asing dan tidak dikecualikan 20% cukai hiburan.

Ini telah mencetuskan pertikaian orang ramai.

Presiden Hua Zhong, Tan Sri Phang Yin Huah kurang faham kenapa filem tempatan dianggap sebagai filem asing dan tidak layak 20% rebat cukai hiburan.

China Press melaporkan bahawa Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap syarat –syarat yang membolehkan filem tempatan mendapatkan rebat 20% cukai hiburan kerana syarat yang kurang adil sekarang menyekat perkembangan filem tempatan.

Takrifan filem tempatan dilihat agak mengelirukan dan menimbulkan kontroversial. Filem yang diterbitkan oleh bakat-bakat tempatan dan kreativiti dalam semua aspek yang berunsur tempatan dengan menggunakan bahasa Cina dianggap filem asing. Perkara ini yang tidak dapat diterima oleh orang ramai, khususnya peminat filem tempatan. Cukai yang tinggi akan menjejas industri perfileman tempatan dan merugikan negara kerana kehilangan peluang meningkatkan imej negara melalui tayangan filem di luar negara.

Wednesday, July 21, 2010

Tanah untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina Perak

Kerajaan negeri Perak telah meluluskan 2500 ekar tanah dengan harga premium RM 2000 se hektar dan cukai tanah RM65 setahun setiap hektar dengan pajakan selama 99 tahun.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak Dr Mah Hang Soon menyerahkan surat kelulusan kepada wakil-wakil Ahli Lembaga Pengelola Sekolah-sekolah yang terlibat.

Dr Mah berkata projek ini akan membolehkan sekolah-sekolah tersebut mendapat keuntungan daripada usaha tanah dan menjana dana yang stabil bagi menampung sebahagian kos pembangunan sekolah persendirian ini.

Tindakan ini merupakan sokongan kerajaan negeri Perak terhadap sekolah-sekolah menegah Cina persendirian yang dianggap lebih meyakinkan masyarakat Cina.




Tuesday, June 22, 2010

Umur 5 tahun masuk darjah 1

Ada kementerian sekarang sudah kurang kerja maka dia cari kerja buat sibuk.

Dasar umur 6 tahun masuk belajar tahun satu di sekolah rendah macam ada banyak masalah bagi dia orang. Perlu cepat tamat pelajaran dan masuk arena kerja, cepat boleh berkhidmat untuk masyarakat kononnya, atau macam-macam alasan lain yang bukan-bukan.

Entah "pakar" mana yang mencadangkan kepada menteri, mau berubah kononnya.

Inilah masalah dasar dan rancangan yang tidak konsisten, tukar sana tukar sini tanpa alasan terbaik. Akhirnya rakyat marah, rakyat berungut dan ada orang atau "pemimpin" sudah tentu akan marah dengan golongan yang membangkang ini dan capkan mereka sebagai pengkhianat negara. Golongan yang kena marah ini akhirkan tawar hati dengan kerajaan.

Sebenarnya apa yang penting ialah memantapkan dasar dan sistem yang telah lama terlaksana dan tidak ada masalah kritikal sekiranya ia diteruskan. Isi kandungan yang perlu ditingkatkan dan bukannya perkara yang tidak membawa apa-apa makna melainkan pelbagai kontroversi dilontar kepada publik.

Rakyat suka melihat peningkatan taraf pra sekolah dan kualiti pembelajaran di semua tahap persekolahan dan masalah yang kritikal seperti kekurangan guru, infra sekolah di SJKC dan T, disiplin, tekanan terhadap guru, kemerosotan prestasi pembelajaran pelajar lelaki dan sebagainya dapat diselesaikan

Kakitangan awam dan pemimpin jangan seperti ayam yang "bertelur tidak, tahi banyak pula".

Sunday, May 30, 2010

DEB yang dipertahankan

Ibrahim ali dan geng-geng dia hendak mempertahankan DEB atau pun semagat Dasar Ekonomi Baru yang berusia 40 tahun supaya:

1. Membina satu jambatan di Tampin mengambil masa tiga tahun, itu pun baru siap 65 peratus. Ribuan kereta buang 10 minit setiap pagi untuk melepasai kawasan itu, kontraktor tidak perduli, JKR tidak boleh buat apa-apa dan ini kawasan Menteri Kerja Raya pula, menteri pun tidak boleh buat apa-apa. Sudah tukar tiga kontraktor yang dipertahankan Ibrahim Ali.

2. Kerja buang bulatan dan ganti dengan lampu isyarat mengambil masa dua tahun lebih, dan sekarang baru "siap", jalan yang baru tar pun mula rosak dan berlubang, ini juga di kawasan menteri Kerja Raya.

3. Keseluruhan pakej naik taraf jalan ini yang panjangnya 1/2 km, ambil masa 3 tahun pun tak boleh siap, malu, malu, malu. Menyusahkan rakyat, tetapi semangat DEB ada, apa peduli! Walaupun di Tampin, kawasan Menteri kerja Raya.


Wednesday, April 21, 2010

Aktiviti Pakatan Rakyat

Adakah Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan rakyat? Lihat sahaja sambutan orang ramai ke atas aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, jawapannya jelas.
Kerajaan Pulau Pinang memberikan wang sagu hati kepada warga emas, ada pihak cuba menyifatkan langkah itu sebagai memberi rasuah.
Akan tetapi apabila kerajaan negeri menjalankan aktiviti membersihkan pantai, aktiviti itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan, yang kebanyakan adalah pemuda dan pemudi, apa pula komennya?
Penulis rencana China Press berkaitan isu ini berpendapat, tidak perlu bagi BN merasa cemburu, ia perlu ikut sahaja aktiviti yang dijalankan oleh PR untuk menawan sokongan rakyat.

Perancangan aktiviti atau program dengan teliti dan memenuhi cita rasa bagi penyertaan penduduk adalah penting buat kerajaan Pakatan Rakyat atau BN. Apa yang penting ialah aktiviti yang bermakna dan mendatangkan hasil serta mesra alam. Golongan muda kini lebih peka dengan isu alam sekitar dan kerja-kerja pemeliharaan alam ini seharusnya untuk kebaikan semua dan jangan bercampur aduk dengan motif politik.

Kewarganegaraan Malaysia

Mulai tahun ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memaklumkan kepada pemohon mengenai keputusan permohonan sijil kewarganegaraan mereka dalam masa dua tahun.

Dengan kata lain, dokumen permohonan lengkap yang dikemukakan oleh pemohon dalam tahun ini, selewat-lewatnya akan menerima jawapan daripada pihak berkenaan pada 2012.

Nanyang Siang Pau berharap Kementerian Dalam Negeri akan menyediakan mekanisme yang lebih sempurna untuk mengendalikan permohonan sijil kewarganegaraan secara sistematik.

Selagi pemohon memenuhi syarat, haruslah meluluskannya secara prinsip dan menguruskan temu duga secara fleksibel.

Ini kerana mereka itu lebih layak menjadi warga Malaysia daripada ramai lagi pendatang asing di Sabah.

Perkhidmatan kelulusan dan pengeluaran sijil kewarganegaraan banyak mempengaruhi prestasi KDN. Masa yang lama dan pengurusan yang tidak cekap dalam hal ini akan menjelas imej kementerian dalam kalangan penduduk atau pemohon. Banyak urusan kerajaan sebenarnya boleh dipercepatkan tetapi telah mengalami masalah kelewatan kerana sistem penyampaian yang lemah.

Wednesday, February 24, 2010

Hospital mewah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon memberi komen terhadap sebuah hospital kerajaan baru yang berupa mewah seakan hotel lima bintang.

China Press yang menyiarkan rencana berkenaan bersetuju bahawa pihak hospital seharusnya lebih mementingkan mutu perkhidmatan anggota dan mengurangkan kes kelalaian berlaku, misalnya tertinggal alat dalam badan pesakit selepas pembedahan, kesilapan dalam memotong organ pesakit dan sebagainya.

Dengan peningkatan perkhidmatan dan kualiti seperti memendekkan waktu menunggu bagi pesakit luar, meningkatkan prasarana perisian hospital dan sebagainya mampu memulihkan keyakinan pesakit terhadap perkhidmatan hospital awam.

Kenyataan ini praktikal dan seharusnya dilaksanakan dalam masa kegawatan ekonomi ini. Bagi hospital, apa yang harus dititik beratkan ialah perkhidmatan yang berkualiti dengan suasana yang selesa dan tidak perlu terlalu mewah dan tidak membelanjakan kos yang tinggi bagi perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pesakit .

Air

Musim kemarau di kawasan utara Semenanjung sejak beberapa bulan yang lalu menyebabkan paras air di empangan menurun.

Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan sistem ganjaran dan di kalangan pengguna.

Kekurangan air juga berlaku di kawasan selatan Semenanjung, Oleh itu Kerajaan perlu meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan air dan menggalakkan penggunaan semula air terpakai.

Menetapkan tarif air yang rasional akan memaksa pengilang untuk melaksanakan langkah menjimatkan penggunaan air.

Sumber air perlu diuruskan dengan cekap dan mencapai matlamat mendidik para pengguna menjimatkan sumber asli ini. Agensi air harus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menghadapi krisis air terutamanya dalam musim panas dan suhu tinggi yang sedang dihadapi seluruh negara ini.

Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2010

Dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kg Baru Pandamaran, Klang sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2010, beliau berjanji akan mengamalkan dasar sederhana dalam negara.

Janji Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar sederhana mendapat sokongan daripada masyarakat Cina, pertubuhan-pertubuhan Cina dan pihak-pihak yang cintakan keamanan.
Dengan adanya ketegasan Perdana Menteri, keinginan jahat anasir ekstrem tentu tidak akan berjaya.

Di samping itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Seai Kie berkata, pilihan Perdana Menteri untuk mengadakan sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Pandamaran, Klang pada kali pertama telah menerima sambutan yang amat baik.

Perubahan cara sambutan perayaan ini telah melihatkan kesan yang positif dan ini meyakinkan Kerajaan terhadap perubahan cara sambutan perayaan peringkat kebangsaan akan datang.

Sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan atau Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2010 yang julung kali berada di sebuah kampung baru Cina nyata merupakan satu pilihan yang baik khususnya bagi para pemimpin mendekati masyarakat tempatan dan sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Pemimpin-pemimpin yang berkesempatan menurun padang seharusnya meluangkan lebih masa untuk memahami masalah dan memahami cara hidup rakyat tempat yang dilawati.

Tuesday, February 9, 2010

SPRM dan Hua Zhong

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengunjungi Hua Zhong (Gabungan Persatuan Cina Malaysia) untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato’ Abu Kassim menyatakan beliau amat mengambil berat pandangan masyarakat Cina berkaitan kelakuan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Di samping itu, Presiden Hua Zhong, Tan Sri Pheng Yin Huah berpendapat tindakan SPRM ini adalah secara ikhlas dan ia merupakan cara terbaik bagi pertubuhan Cina memahami operasi dan fungsi SPRM.

Berliau bersetuju bahawa perjumpaan bersemuka merupakan saluran komunikasi yang paling berkesan.

Tindakan SPRM mendekati rakyat dengan mengunjungi pertubuhan-pertubuhan NGO dan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan merupakan satu amalan mesra rakyat dan akan dapat meningkatkan komunikasi antara SPRM dan rakyat. Maklumat SPRM dapat disampaikan terus kepada NGO dan diharap akan mendapat kerjasama yang lebih baik daripada semua pihak bagi membanteras rasuah.

Kenyataan ekstremis Nasir

Perdana Menteri berkata hak kewarganegaraan semua kaum dilindungi Perlembagaan dan tidak ada sesiapa yang boleh meraguinya.

PM juga berkata bekas Pembantu Khasnya Datuk Nasir yang mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati kaum Cina dan India dan telah melepaskan jawatannya merupakan satu pengajaran kepada semua.

Nasir dalam satu ceramah di Melaka pada 2.2.10 menghina India dan wanita Cina dengan mengatakan mereka datang ke Malaysia untuk mengemis dan “menjual badan”. Beliau juga menyatakan hak kewarganegaraan mereka yang membuat pelbagai tuntutan harus ditarik balik.

Kenyataan perkauman ini telah menimbulkan reaksi hangat di kalangan masyarakat Cina berikutan liputan media yang meluas. Mereka tertanya-tanya berapa ramai lagi golongan sedemikian yang masih berada di negara ini. Oleh itu, permohonan maaf dan tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas sesiapa yang mengganggu ketenteraman awam.

Kenyataan menyinggung hati rakyat

Datuk Nasir Safar, Pembantu Khas kepada Perdana Menteri yang membuat ucapan berbentuk perkauman menimbulkan pelbagai reaksi hangat.
Beliau ketika berucap di majlis seminar 1Malaysia di Melaka pada 2 Februari mengatakan orang India pada mulanya datang ke negara ini untuk mengemis dan wanita Cina datang untuk melacurkan diri telah melepaskan jawatannya.
Kenyataan ekstremis ini nyata bercanggah dengan konsep 1Malaysia dan ia jelas menunjukkan bahawa masih ramai di kalangan rakyat dalam negara ini termasuk mereka yang berkhidmat untuk Perdana Menteri masih tidak dapat melakukan perubahan.
Krisis yang paling serius bagi sebuah negara yang telah merdeka 53 tahun ini ialah pemikiran antara orang Melayu dan bukan Melayu yang masih jauh berbeza.
Oleh itu, bagi memperbaiki keadaan ini agar generasi akan datang menikmati keamanan ialah Kerajaan menggunakan sumber dan tenaga yang ada untuk menggubal undang-undang bagi mengelakkan kenyataan dan politik bersifat melampau.

Masyarakat nyata terperanjat pembantu khas kepada PM juga mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan konsep 1Malaysia. Amalan ini sering berulang dan sering menyinggung hati pihak tertentu sememangnya menjejas perpaduan dan menjejas semangat gagasan 1Malaysia. Peletakan jawatan dengan pantas Nasir dianggap tidak mencukupi dan rakyat ingin melihat pihak berkenaan memohon maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan di bawah akta hasutan.

PTPTN

Kementerian Pengajian Tinggi tidak harus menggunakan alasan tidak dapat mengutip kembali pinjaman PTPTN untuk menetapkan syarat yang lebih ketat bagi permohonan pinjaman.
Sebaliknya, ia harus memperkasakan pentadbiran dan mengetatkan peraturan terhadap peminjam yang tidak melunaskan hutang.
Biar betapa miskin kerajaan pun, tidak boleh memiskinkan pendidikan.
Di samping itu, Timbalan Menteri Pelajaran selaku Ketua Biro Pendidikan MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pengajian Tinggi dalam cadangan menyekat kelayakan permohonan PTPTN harus menetapkan syarat yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.
Beliau berkata, seandainya kementerian itu mengehadkan pendapatan ibu bapa tidak boleh melebihi RM10 ribu sebulan masih boleh diterima
Selain itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP selaku Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng berkata, seandainya sumber kewangan kerajaan terhad, ia harus menjaga pelajar yang berasal dari keluarga miskin dan mempunyai keputusan cemerlang.

Isu utama bagi PTPTN ialah ketidakmampuan mengutip balik hutang dan menyebabkan ketandusan wang pusingan bagi pinjaman baru. Perkara ini harus diselesakan dengan mengadakan strategi yang baik dan bersungguh-bersungguh dalam tindakan ini. Sering kali tindakan tegas diambil tetapi bersikap hangat-hangat tahi ayam. KPI PTPTN dari segi pengutipan balik hutang harus melebihi 95 peratus.

Friday, January 29, 2010

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 28 Januari 2010 dan bertekad untuk terus melakukan perubahan selaras dengan hasrat dan harapan rakyat.

Kata beliau, kesemua program transformasi ini telah terlebih dahulu mengambil kira pandangan rakyat dan dirangka oleh kakitangan awam yang terlibat dengan lab bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mana mereka telah memberikan komitmen dan bersemangat tinggi untuk menentukan hala tuju GTP ini.

Kata PM, Kerajaan akan merealisasikan NKRA ini untuk mencapai transformasi yang berterusan sehingga rakyat dapat merasai, melihat dan menyentuhnya.

Kerajaan juga tidak akan menyembunyikan apa-apa semasa melaksanakan program ini dan bersedia untuk dinilai dan akan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat terhadap Kerajaan.

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) merupakan hasil daripada penggunaan sumber tenaga, wang dan masa yang begitu banyak dan ia juga menunjukkan komitmen Kerajaan.

Apa yang penting ialah pelaksanaan dan kelihatan hasil yang nyata oleh rakyat. Agensi pelaksanaan memainkan peranan paling penting dan GTP ini seharusnya tidak ada pilihan melainkan berjaya dan rakyat benar-benar merasainya. Masa depan Kerajaan BN banyak bergantung pada hasil GTP ini.

Thursday, January 28, 2010

Inovasi sektor awam

Perdana Menteri Dato Sri Najib mencadangkan semua kementerian kerajaan dan agensi menubuhkan unit inovasi bagi meningkatkan prestasi sektor awam melalui idea yang berinovatif dan kreatif.

Selain itu, Hari Kualiti (Hari Q) juga dicadangkan menukar kepada Hari Inovasi. Kata PM, kadar pembangunan ekonomi negara banyak bergantung pada penggunaan daya kreatif dan inovasi.

Katanya, negara ini yang sedang menuju ke arah modul ekonomi baru amat memerlukan kreatif dan inovasi.

Daya persaingan negara banyak bergantung pada kreatif dan inovasi serta perubahan yang selaras dengan kehendak semasa, oleh itu, penumpuan kepada inovasi dan kreatif amat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua agensi awam.

Pekerja asing

Timbalan Presiden MCA Dato’ Sri Dr Chua Soi Lek berkata beliau akan mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia supaya menangguhkan operasi menahan pekerja asing haram yang akan bermula pada 15 Februari depan. Katanya operasi dijangka bermula pada hari kedua Tahun Baru Cina itu adalah kurang sesuai kerana hari ini merupakan hari yang paling sibuk bagi peniaga semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata tarikh yang sesuai untuk operasi ini ialah selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Tambah beliau, banyak pihak mencadangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing harus dipanjangkan dari lima tahun kepada lapan tahun kerana terdapat kerja-kerja yang sukar mendapat pekerja disebabkan orang tempatan kurang berminat.

Isu pekerja asing perlu diselesaikan dengan meneliti punca masalahnya. Bidang-bidang pekerjaan yang perlu dan boleh diisi oleh pekerja tempatan seharusnya tidak dimonopoli oleh pekerja asing dan kerajaan harus tingkatkan dialog dan mencapai persefahaman antara industri dan Kementerian yang berkuasa agar isu pekerja asing dapat diselesaikan dengan baik.

Pekerja tempatan harus juga diberi peluang melalui kawalan dan penguatkuasaan supaya majikan tidak mengambil kesempatan dengan mengaji pekerja yang lebih murah tetapi peluang orang tempatan diabaikan.

Golongan muda harus diberi peluang latihan dan berkhidmat di bidang-bidang barisan hadapan agar mereka terlatih untuk menyesuaikan diri dengan budaya perniagaan khususnya lepasan sekolah menengah, kolej dan universiti.

Tuesday, January 26, 2010

Daging babi

Hua Zhong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu agensi perunding bebas bagi mengkaji satu mekanisme penentuan harga daging babi agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

Agensi perunding ini harus meliputi pihak penternak, pengedar, penjual dan agensi yang terlibat.

Dengan menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina, bahan makanan ini telah menjadi satu isu dari segi pembekalan dan harga. Kementerian berkenaan telah mengumumkan kawalan harga dan kebenaran import bahan ini.

Usaha Kerajaan dan pihak yang terlibat untuk menyelesaikan harga daging babi yang melambung tinggi mendapat sokongan di kalangan pengguna tetapi satu mekanisme yang boleh diterima semua pihak perlu diadakan bagi menentukan harga dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul agar semua pihak dilayan secara adil.

Usaha Hua Zhong harus dipuji dan Kementerian berkenaan harus bekerjasama dengan pertubuhan ini bagi membantu menyelesaikan kemelut yang menjejas masyarakat Cina.

Kalimah Allah 2

Dalam satu wawancara khas dengan pemberita China Press, ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Khalid Samad berkata, umat Islam yang ingin memanipulasi kalimah Allah, bukan saja akan mencetuskan perselisihan faham bagi bukan Islam terhadap agama Islam, malah juga menyebabkan mereka menjauhi agama Islam.

Khalid berkata, mengikut ajaran Islam, pencipta dunia adalah 'Allah', yang tidak mengambil kira umat Islam ataupun tidak.

Hanya terdapat satu pencipta, iaitu 'Allah'.

Oleh itu, Allah adalah milik semua insan, tiada orang boleh menghalang bukan Islam menggunakannya.

Menurut beliau, tindakan pertubuhan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah adalah salah satu strategi bagi menumpaskan Pakatan Rakyat (China Press 25.1.10)

Kontroversi haram atau tidak penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam telah berlarutan dan masih tidak ada kata sepakat daripada semua pihak.

Proses mahkamah biasanya akan menghasilkan satu pihak yang tidak berpuas hati dan masyarakat terus tidak bertenang.

Alternatif yang terbaik ialah melalui proses perundingan dan penyelesaian di luar mahkamah dengan adanya pihak tertentu yang mengkoordinasi atau mengadakan dialog berkaitan perkara ini agar satu jalan penyelesaian jangka panjang dihasilkan.

Thursday, January 21, 2010

Kalimah Allah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata dialog antara kaum dan agama secara tidak rasmi akan memberi kesan yang lebih baik kerana kurangnya tekanan.

Katanya, Kerajaan sedang mengkaji mekanisme yang ada sekarang untuk menentukan sama ada perlunya menubuhkan majlis tetap bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul.

Beliau juga memaklumkan bahawa banyak majlis atau jawatankuasa telah ditubuhkan dan ada yang aktif ada yang tidak.

Katanya walaupun Kerajaan sedang mengkaji pertubuhan-pertubuhan antara agama yang sedia ada, banyak dialog antara kaum dan agama telah diadakan cuma pihak kerajaan tidak menjalankan publisiti secara besar-besaran.

Isu kalimah Allah boleh diselesaikan melalui dialog yang secara tidak rasmi untuk mencari titik persetujuan serta memberi peluang kepada semua pihak memahami kehendak dan harapan daripada setiap agama. Perjumpaan antara agama tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai merugikan mana-mana pihak.

Kempen anti rokok

Kempen anti merokok yang dilaksanakan Kerajaan sejak lima tahun yang lepas telah gagal.
Bilangan perokok bukan sahaja tidak berkurang, malah telah bertambah dengan purata 45 hingga 50 orang setiap hari yang melibatkan mereka yang berumur 18 ke bawah.

Ketagihan merokok merupakan satu tabiat yang memberikan kesan mendalam kepada kesihatan diri dan orang keliling malah merugikan ekonomi negara.
Oleh itu, strategi kempen anti merokok perlu dikaji semula dan tindakan dari segi penguatkuasaan harus ditingkatkan.

Perahu naga terbalik

Jumlah kematian dalam insiden perahu naga SMJK Chung Ling terbalik pada 17 Januari di Pulau Pinang disahkan enam orang, seorang guru dan lima pelajar.

Sekolah menengah tersebut mengadakan upacara kibarkan bendera separuh tiang dan perhimpunan diadakan bagi memberi penghormatan kepada mangsa yang meninggal dalam tragedi ini.

Di samping itu, pengetua SMJK Chung Ling menyatakan sekiranya dibuktikan beliau yang cuai dalam hal ini, beliau akan pikul tanggungjawab tersebut.

Pihak Kementerian harus meneliti prosedur keselamatan aktiviti-aktiviti luar sekolah bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang dan menjejas keselamatan pelajar.
Pihak sekolah perlu diingatkan dan diperjelaskan tentang panduan-panduan dan dasar-dasar yang ada bagi mengendalikan apa-apa aktiviti luar.

Perhubungan agama yang rapuh

Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, S.G. Lim dalam ruangannya menyatakan perkara yang terdesak bagi Kerajaan ialah membina “jambatan” menghubungkan antara agama dan pelbagai kaum dalam negara ini.

Beliau berkata, Kerajaan telah banyak membina projek mega sejak 20 tahun dahulu dan kini sudah sampai masanya untuk memulakan “projek sosial” dalam negara ini.

Selepas insiden membakar gereja, projek sosial ini dilihat sebagai amat penting.

Acara-acara seperti rumah terbuka, persembahan, jamuan dan pelbagai slogan semua ini merupakan usaha yang indah khabar daripada rupa belaka.

Selepas insiden pembakaran dan vandalisme gereja, rakyat telah memberi tumpuan kepada usaha kerajaan untuk memperbaiki hubungan agama yang nyata rapuh. Dialog dan interaksi antara agama merupakan saluran yang berkesan untuk mencapai persefahaman antara agama dan kaum.

Pekerja asing

Beberapa tahun yang lepas, Kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan terhadap pekerja asing tanpa izin, namun masih tertimbulnya masalah yang sama.
Keadaan ini menunjukkan masih wujud kelemahan dalam dasar kerajaan yang berkaitan.
Masalah pekerja asing tidak dapat diatasi kerana kerajaan terpaksa berkompromi demi perkembangan ekonomi negara.
Harian ini berpendapat rakyat perlu mengubah sikap dalam mencari pekerjaan.
Adalah wajar bagi kerajaan mengambil tindakan melalui pendidikan dan mengadakan program untuk mengubah pandangan rakyat terhadap pekerjaan.
Dalam pada itu, kerajaan perlu mengambil tindakan yang wajar bagi menggalakkan majikan supaya mengambil pekerja tempatan dahulu.
Sebenarnya banyak pekerjaan yang diambil alih oleh pekerja asing boleh dilakukan oleh rakyat negara ini khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpelajaran tinggi.
Peluang harus disediakan dengan bantuan dan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan agar pekerja tempatan diberi peluang dan diutamakan.
Golongan muda, pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, pelajar IPT yang bercuti panjang harus diberi peluang pekerjaan sampingan bagi melatih mereka membiasakan diri dengan budaya perniagaan dan perindustrian.

Gula

Perdana Menteri berkata harga minuman tidak sepatutnya naik berikutan kenaikan harga gula.

Katanya, gula cuma merupakan sebahagian kecil bahan dalam minuman tersebut.

PM menegaskan kenaikan harga gula sepatutnya menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan gula yang berlebihan.

Pesakit kencing manis negara ini merupakan yang tertinggi di dunia.


Tindakan kenaikan harga gula walaupun mempengaruhi kos barangan, tetapi ia amat sedikit, maka ia tidak seharusnya menyebabkan kenaikan harga barangan, makanan dan minuman, oleh itu, penguatkuasaan adalah penting.

Selain itu, Kerajaan harus mewajibkan penjual minuman mengasingkan dan mengurangkan harga bagi minuman yang tidak menggunakan gula/susu. Cara ini bukan sahaja menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan gula malah lebih adil kepada mereka yang minta kopi, milo, teh dan sebagainya tanpa gula.