Friday, January 29, 2010

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 28 Januari 2010 dan bertekad untuk terus melakukan perubahan selaras dengan hasrat dan harapan rakyat.

Kata beliau, kesemua program transformasi ini telah terlebih dahulu mengambil kira pandangan rakyat dan dirangka oleh kakitangan awam yang terlibat dengan lab bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mana mereka telah memberikan komitmen dan bersemangat tinggi untuk menentukan hala tuju GTP ini.

Kata PM, Kerajaan akan merealisasikan NKRA ini untuk mencapai transformasi yang berterusan sehingga rakyat dapat merasai, melihat dan menyentuhnya.

Kerajaan juga tidak akan menyembunyikan apa-apa semasa melaksanakan program ini dan bersedia untuk dinilai dan akan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat terhadap Kerajaan.

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) merupakan hasil daripada penggunaan sumber tenaga, wang dan masa yang begitu banyak dan ia juga menunjukkan komitmen Kerajaan.

Apa yang penting ialah pelaksanaan dan kelihatan hasil yang nyata oleh rakyat. Agensi pelaksanaan memainkan peranan paling penting dan GTP ini seharusnya tidak ada pilihan melainkan berjaya dan rakyat benar-benar merasainya. Masa depan Kerajaan BN banyak bergantung pada hasil GTP ini.

Thursday, January 28, 2010

Inovasi sektor awam

Perdana Menteri Dato Sri Najib mencadangkan semua kementerian kerajaan dan agensi menubuhkan unit inovasi bagi meningkatkan prestasi sektor awam melalui idea yang berinovatif dan kreatif.

Selain itu, Hari Kualiti (Hari Q) juga dicadangkan menukar kepada Hari Inovasi. Kata PM, kadar pembangunan ekonomi negara banyak bergantung pada penggunaan daya kreatif dan inovasi.

Katanya, negara ini yang sedang menuju ke arah modul ekonomi baru amat memerlukan kreatif dan inovasi.

Daya persaingan negara banyak bergantung pada kreatif dan inovasi serta perubahan yang selaras dengan kehendak semasa, oleh itu, penumpuan kepada inovasi dan kreatif amat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua agensi awam.

Pekerja asing

Timbalan Presiden MCA Dato’ Sri Dr Chua Soi Lek berkata beliau akan mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia supaya menangguhkan operasi menahan pekerja asing haram yang akan bermula pada 15 Februari depan. Katanya operasi dijangka bermula pada hari kedua Tahun Baru Cina itu adalah kurang sesuai kerana hari ini merupakan hari yang paling sibuk bagi peniaga semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata tarikh yang sesuai untuk operasi ini ialah selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Tambah beliau, banyak pihak mencadangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing harus dipanjangkan dari lima tahun kepada lapan tahun kerana terdapat kerja-kerja yang sukar mendapat pekerja disebabkan orang tempatan kurang berminat.

Isu pekerja asing perlu diselesaikan dengan meneliti punca masalahnya. Bidang-bidang pekerjaan yang perlu dan boleh diisi oleh pekerja tempatan seharusnya tidak dimonopoli oleh pekerja asing dan kerajaan harus tingkatkan dialog dan mencapai persefahaman antara industri dan Kementerian yang berkuasa agar isu pekerja asing dapat diselesaikan dengan baik.

Pekerja tempatan harus juga diberi peluang melalui kawalan dan penguatkuasaan supaya majikan tidak mengambil kesempatan dengan mengaji pekerja yang lebih murah tetapi peluang orang tempatan diabaikan.

Golongan muda harus diberi peluang latihan dan berkhidmat di bidang-bidang barisan hadapan agar mereka terlatih untuk menyesuaikan diri dengan budaya perniagaan khususnya lepasan sekolah menengah, kolej dan universiti.

Tuesday, January 26, 2010

Daging babi

Hua Zhong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu agensi perunding bebas bagi mengkaji satu mekanisme penentuan harga daging babi agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

Agensi perunding ini harus meliputi pihak penternak, pengedar, penjual dan agensi yang terlibat.

Dengan menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina, bahan makanan ini telah menjadi satu isu dari segi pembekalan dan harga. Kementerian berkenaan telah mengumumkan kawalan harga dan kebenaran import bahan ini.

Usaha Kerajaan dan pihak yang terlibat untuk menyelesaikan harga daging babi yang melambung tinggi mendapat sokongan di kalangan pengguna tetapi satu mekanisme yang boleh diterima semua pihak perlu diadakan bagi menentukan harga dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul agar semua pihak dilayan secara adil.

Usaha Hua Zhong harus dipuji dan Kementerian berkenaan harus bekerjasama dengan pertubuhan ini bagi membantu menyelesaikan kemelut yang menjejas masyarakat Cina.

Kalimah Allah 2

Dalam satu wawancara khas dengan pemberita China Press, ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Khalid Samad berkata, umat Islam yang ingin memanipulasi kalimah Allah, bukan saja akan mencetuskan perselisihan faham bagi bukan Islam terhadap agama Islam, malah juga menyebabkan mereka menjauhi agama Islam.

Khalid berkata, mengikut ajaran Islam, pencipta dunia adalah 'Allah', yang tidak mengambil kira umat Islam ataupun tidak.

Hanya terdapat satu pencipta, iaitu 'Allah'.

Oleh itu, Allah adalah milik semua insan, tiada orang boleh menghalang bukan Islam menggunakannya.

Menurut beliau, tindakan pertubuhan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah adalah salah satu strategi bagi menumpaskan Pakatan Rakyat (China Press 25.1.10)

Kontroversi haram atau tidak penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam telah berlarutan dan masih tidak ada kata sepakat daripada semua pihak.

Proses mahkamah biasanya akan menghasilkan satu pihak yang tidak berpuas hati dan masyarakat terus tidak bertenang.

Alternatif yang terbaik ialah melalui proses perundingan dan penyelesaian di luar mahkamah dengan adanya pihak tertentu yang mengkoordinasi atau mengadakan dialog berkaitan perkara ini agar satu jalan penyelesaian jangka panjang dihasilkan.

Thursday, January 21, 2010

Kalimah Allah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata dialog antara kaum dan agama secara tidak rasmi akan memberi kesan yang lebih baik kerana kurangnya tekanan.

Katanya, Kerajaan sedang mengkaji mekanisme yang ada sekarang untuk menentukan sama ada perlunya menubuhkan majlis tetap bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul.

Beliau juga memaklumkan bahawa banyak majlis atau jawatankuasa telah ditubuhkan dan ada yang aktif ada yang tidak.

Katanya walaupun Kerajaan sedang mengkaji pertubuhan-pertubuhan antara agama yang sedia ada, banyak dialog antara kaum dan agama telah diadakan cuma pihak kerajaan tidak menjalankan publisiti secara besar-besaran.

Isu kalimah Allah boleh diselesaikan melalui dialog yang secara tidak rasmi untuk mencari titik persetujuan serta memberi peluang kepada semua pihak memahami kehendak dan harapan daripada setiap agama. Perjumpaan antara agama tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai merugikan mana-mana pihak.

Kempen anti rokok

Kempen anti merokok yang dilaksanakan Kerajaan sejak lima tahun yang lepas telah gagal.
Bilangan perokok bukan sahaja tidak berkurang, malah telah bertambah dengan purata 45 hingga 50 orang setiap hari yang melibatkan mereka yang berumur 18 ke bawah.

Ketagihan merokok merupakan satu tabiat yang memberikan kesan mendalam kepada kesihatan diri dan orang keliling malah merugikan ekonomi negara.
Oleh itu, strategi kempen anti merokok perlu dikaji semula dan tindakan dari segi penguatkuasaan harus ditingkatkan.

Perahu naga terbalik

Jumlah kematian dalam insiden perahu naga SMJK Chung Ling terbalik pada 17 Januari di Pulau Pinang disahkan enam orang, seorang guru dan lima pelajar.

Sekolah menengah tersebut mengadakan upacara kibarkan bendera separuh tiang dan perhimpunan diadakan bagi memberi penghormatan kepada mangsa yang meninggal dalam tragedi ini.

Di samping itu, pengetua SMJK Chung Ling menyatakan sekiranya dibuktikan beliau yang cuai dalam hal ini, beliau akan pikul tanggungjawab tersebut.

Pihak Kementerian harus meneliti prosedur keselamatan aktiviti-aktiviti luar sekolah bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang dan menjejas keselamatan pelajar.
Pihak sekolah perlu diingatkan dan diperjelaskan tentang panduan-panduan dan dasar-dasar yang ada bagi mengendalikan apa-apa aktiviti luar.

Perhubungan agama yang rapuh

Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, S.G. Lim dalam ruangannya menyatakan perkara yang terdesak bagi Kerajaan ialah membina “jambatan” menghubungkan antara agama dan pelbagai kaum dalam negara ini.

Beliau berkata, Kerajaan telah banyak membina projek mega sejak 20 tahun dahulu dan kini sudah sampai masanya untuk memulakan “projek sosial” dalam negara ini.

Selepas insiden membakar gereja, projek sosial ini dilihat sebagai amat penting.

Acara-acara seperti rumah terbuka, persembahan, jamuan dan pelbagai slogan semua ini merupakan usaha yang indah khabar daripada rupa belaka.

Selepas insiden pembakaran dan vandalisme gereja, rakyat telah memberi tumpuan kepada usaha kerajaan untuk memperbaiki hubungan agama yang nyata rapuh. Dialog dan interaksi antara agama merupakan saluran yang berkesan untuk mencapai persefahaman antara agama dan kaum.

Pekerja asing

Beberapa tahun yang lepas, Kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan terhadap pekerja asing tanpa izin, namun masih tertimbulnya masalah yang sama.
Keadaan ini menunjukkan masih wujud kelemahan dalam dasar kerajaan yang berkaitan.
Masalah pekerja asing tidak dapat diatasi kerana kerajaan terpaksa berkompromi demi perkembangan ekonomi negara.
Harian ini berpendapat rakyat perlu mengubah sikap dalam mencari pekerjaan.
Adalah wajar bagi kerajaan mengambil tindakan melalui pendidikan dan mengadakan program untuk mengubah pandangan rakyat terhadap pekerjaan.
Dalam pada itu, kerajaan perlu mengambil tindakan yang wajar bagi menggalakkan majikan supaya mengambil pekerja tempatan dahulu.
Sebenarnya banyak pekerjaan yang diambil alih oleh pekerja asing boleh dilakukan oleh rakyat negara ini khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpelajaran tinggi.
Peluang harus disediakan dengan bantuan dan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan agar pekerja tempatan diberi peluang dan diutamakan.
Golongan muda, pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, pelajar IPT yang bercuti panjang harus diberi peluang pekerjaan sampingan bagi melatih mereka membiasakan diri dengan budaya perniagaan dan perindustrian.

Gula

Perdana Menteri berkata harga minuman tidak sepatutnya naik berikutan kenaikan harga gula.

Katanya, gula cuma merupakan sebahagian kecil bahan dalam minuman tersebut.

PM menegaskan kenaikan harga gula sepatutnya menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan gula yang berlebihan.

Pesakit kencing manis negara ini merupakan yang tertinggi di dunia.


Tindakan kenaikan harga gula walaupun mempengaruhi kos barangan, tetapi ia amat sedikit, maka ia tidak seharusnya menyebabkan kenaikan harga barangan, makanan dan minuman, oleh itu, penguatkuasaan adalah penting.

Selain itu, Kerajaan harus mewajibkan penjual minuman mengasingkan dan mengurangkan harga bagi minuman yang tidak menggunakan gula/susu. Cara ini bukan sahaja menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan gula malah lebih adil kepada mereka yang minta kopi, milo, teh dan sebagainya tanpa gula.